Malaysia teguh perkukuh komitmen dalam Misi Pengaman PBB
BERLIN – Malaysia memperkukuh komitmen usaha keamanan sejagat menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Peacekeeping Ministerial 2025) yang berlangsung di Berlin, Jerman pada 13 dan 14 Mei ini.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, beliau mengetuai delegasi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke forum dwitahunan yang menghimpunkan pemimpin pertahanan negara-negara penyumbang misi pengaman PBB.
“Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha PBB memperkukuh operasi pengaman global. Kehadiran saya di forum ini adalah untuk menyuarakan pandangan serta memperbaharui komitmen negara terhadap tanggungjawab ini,” katanya dalam hantaran media sosial.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin Brandenburg pada Isnin, pukul 5.36 petang waktu tempatan, disambut oleh Charge d’Affaires Kedutaan Besar Malaysia di Berlin, Rozaime Mohamed Desa.
Mohamed Khaled berkata, kehadiran Malaysia di forum itu membuktikan pendirian konsisten negara dalam memainkan peranan yang konstruktif bagi misi keamanan dunia.
“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dan bertanggungjawab sebagai penyumbang misi pengaman serta menyokong prinsip multilateralisme dalam menangani cabaran keselamatan global,” tambahnya.
Beliau berkata, sepanjang forum itu, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, dan Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto.
“Pertemuan tersebut akan memfokuskan kepada kerjasama strategik dalam bidang pertahanan, keselamatan antarabangsa, serta usaha memperkukuh kestabilan serantau.
“Penyertaan aktif Malaysia dalam forum ini mencerminkan iltizam negara sebagai rakan sejagat yang mendukung keamanan dan kestabilan global melalui kerangka kerjasama antarabangsa,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












