Lebih 80 negara PBB kecam peluasan kawalan Israel di Tebing Barat
NEW YORK – Lebih 80 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam keras rancangan Israel untuk memperluas kawalan ke atas Tebing Barat yang diduduki serta mengisytiharkan kawasan luas wilayah Palestin sebagai ‘harta negara’ Israel.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour yang berucap bagi pihak gabungan 85 negara anggota dan beberapa pertubuhan antarabangsa, menegaskan keputusan unilateral Israel itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan perlu dibatalkan segera.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan dan langkah unilateral Israel yang bertujuan memperluas kehadiran haramnya di Tebing Barat. Kami menentang sebarang bentuk aneksasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan penolakan terhadap semua langkah yang bertujuan mengubah komposisi demografi, karakter dan status wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmuqaddis Timur.
Menurutnya, tindakan sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa, menjejaskan usaha damai dan kestabilan serantau serta menggagalkan prospek perjanjian damai menamatkan konflik.
Kenyataan bersama itu disokong oleh Australia, Kanada, China, Perancis, Pakistan, Rusia, Korea Selatan, Arab Saudi, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu, Kesatuan Eropah, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam.
Ia menyusul selepas Israel memutuskan untuk melaksanakan pendaftaran tanah di Kawasan C Tebing Barat buat pertama kali sejak 1967, tahun bermulanya pendudukan wilayah Palestin oleh negara itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, sebelum ini memberi amaran bahawa pelan pendaftaran tanah tersebut boleh membawa kepada pelucutan hak milik rakyat Palestin serta memperluas kawalan Israel di kawasan berkenaan.
Beliau menyifatkan proses itu berpotensi menimbulkan ketidakstabilan dan melanggar undang-undang, merujuk keputusan penting Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024 yang memutuskan pendudukan Israel di Tebing Barat dan Gaza adalah menyalahi undang-undang serta perlu ditamatkan.
Menurut ICJ, kira-kira 465,000 peneroka Israel kini menetap di Tebing Barat yang diduduki merangkumi hampir 300 penempatan dan pos hadapan yang dianggap tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Dalam perkembangan berasingan, agensi berita Palestin, Wafa melaporkan seorang kanak-kanak Palestin berusia 13 tahun maut manakala dua lagi cedera parah di Lembah Jordan tengah Tebing Barat selepas terkena peluru yang ditinggalkan tentera Israel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








