PBB bantah rancangan AS kawal bantuan ke Gaza
HAMILTON – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bantahan tegas terhadap rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengendalikan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui kontraktor keselamatan swasta.
PBB menganggap langkah itu mencabuli prinsip asas kemanusiaan yang menyekat bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan di wilayah tersebut.
Anggota Majlis Keselamatan PBB, Farhan Haq berkata, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai rancangan itu oleh kerajaan AS.
“PBB tidak diberi makluman secara langsung mengenai pelan ini. Apa yang disampaikan oleh utusan khas Presiden AS kepada Majlis Keselamatan bukan satu acara rasmi,” katanya dalam sidang media.
Beliau mempersoalkan kesesuaian pendekatan yang diambil AS kerana ia bertentangan dengan nilai teras yang diamalkan PBB.
“Kami tidak akan menyokong atau terlibat dalam sebarang inisiatif yang gagal mematuhi prinsip kemanusiaan kesaksamaan, kebebasan, kemanusiaan dan berkecuali,” tegas Haq.
Pada Khamis lalu, AS mengumumkan penubuhan sebuah yayasan bukan kerajaan yang bakal mengambil alih tanggungjawab mengagihkan bantuan ke Gaza.
Yayasan itu dijangka memulakan operasi dalam masa terdekat.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.
“Kami masih belum bersedia untuk berkongsi butiran lanjut mengenai struktur atau operasi yayasan ini,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah kerana sekatan Israel terus menghalang penghantaran makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada 2.4 juta penduduk.
PBB menggesa semua pihak agar mematuhi prinsip kemanusiaan sejagat dalam sebarang usaha bantuan dan tidak mengetepikan peranan badan antarabangsa yang telah lama beroperasi di kawasan bergolak itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








