BERITA SEMASA

Malaysia kutuk keras pencerobohan masjid Al-Aqsa oleh pendatang haram Israel

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden terbaru pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh pendatang haram Israel yang turut mengibarkan bendera Zionis Israel di dalam kawasan suci itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar menegaskan sebarang usaha melakukan proses Yahudisasi terhadap Masjid Al-Aqsa adalah keji dan mencemarkan kesucian masjid berkenaan.

Tegas Kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, tindakan terbaru oleh pendatang haram dengan sokongan rejim Zionis Israel, merupakan cubaan untuk mengubah realiti di lapangan serta ciri-ciri budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

“Tindakan sedemikian adalah bersifat provokatif dan tidak boleh diterima sama sekali, serta jelas mengabaikan peranan penjagaan terhadap tapak-tapak suci Islam di Baitulmuqaddis.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika permusuhan dan pencerobohan berlaku secara terang-terangan,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan mengulangi pendirian teguhnya dalam menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Sokongan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka adalah berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button