BERITA SEMASA

DAP kecam undang-undang hukuman mati Israel terhadap rakyat Palestin

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam keras kelulusan undang-undang baharu oleh Parlimen Israel, Knesset yang membenarkan hukuman mati dikenakan ke atas rakyat Palestin.

Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, undang-undang tersebut memberi kuasa kepada kerajaan Israel untuk menjatuhkan hukuman mati khususnya terhadap penduduk Tebing Barat yang disabitkan dengan tuduhan keganasan.

“Hukuman mati ke atas rakyat Palestin yang diluluskan di Knesset bersifat kejam, primitif, tidak berperikemanusiaan dan merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang mesti dikecam oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, agensi Israel Prison Service dilaporkan telah mula membuat persiapan bagi pelaksanaan hukuman itu walaupun rang undang-undang berkenaan baru sahaja diluluskan dan tanpa peruntukan jelas melibatkan tahanan kanak-kanak.

“Walaupun hakim boleh memilih untuk memberikan hukuman penjara seumur hidup di bawah keadaan istimewa atau ‘special circumstances’ namun disebabkan takrifan undang-undang yang kurang jelas, akan menyebabkan hukuman mati terus digunakan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan hukuman mati itu dilaporkan menggunakan kaedah gantung dan boleh dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas sabitan, tanpa ruang rayuan kepada rakyat Palestin.

Kes warga Israel pula dibicarakan di mahkamah sivil, manakala rakyat Palestin dihadapkan ke mahkamah tentera.

Dalam masa sama, Association for Civil Rights in Israel dijangka memfailkan petisyen di mahkamah, mempersoalkan bidang kuasa Knesset untuk menggubal undang-undang berkenaan terhadap penduduk Tebing Barat yang menurut undang-undang antarabangsa berada di bawah pentadbiran ketenteraan.

Kasthuri berkata, pengumuman itu mencetuskan kebimbangan global ketika Israel terus dikritik atas tindakan terhadap rakyat Palestin, selain memberi kesan kepada ekosistem hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

“Dalam era dunia multipolar, ketika konsep peperangan lebih menarik daripada konsep keamanan, hak asasi manusia serta ekosistem dan infrastruktur yang melindungi, memelihara dan menjunjungya semakin terhakis.

“DAP mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang memisahkan, mendiskriminasi dan menindas rakyat Palestin dengan menggunakan hukuman mati terhadap mereka sekali gus mewujudkan satu suasana dan keadaan yang penuh ketakutan dan ketidaktentuan.

“Ia seperti pedang Damocles yang bergayut di atas kepala mereka, menantikan takdir dalam negara mereka yang dimusnahkan oleh puak Zionis,” tegasnya.

Beliau turut memetik laporan B’Tselem yang menyatakan sehingga Disember 2025, seramai 9,128 rakyat Palestin ditahan oleh IPS atas alasan keselamatan termasuk 1,477 dari Gaza.

“Daripada jumlah itu, 351 adalah kanak-kanak dan 168 daripadanya ditahan tanpa sebarang pertuduhan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa serta penderaan dalam tahanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang didakwa melanggar pelbagai konvensyen antarabangsa termasuk United Nations Convention Against Torture, Convention on the Rights of the Child dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women.

Kasthuri menegaskan, penggunaan hukuman mati terhadap rakyat Palestin boleh dianggap sebagai pembunuhan di luar proses kehakiman serta berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

“Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button