LUAR NEGARA

Menantu Trump tiba di Israel, adakan rundingan Gaza bersama Netanyahu

BAITULMAQDIS – Menantu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner, tiba di Israel semalam bagi mengadakan rundingan penting dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung pelan damai yang dicadangkan Washington untuk menamatkan perang di Gaza.

Menurut sumber diplomatik yang enggan dikenali, pertemuan antara Kushner dan Netanyahu dijadual berlangsung hari ini (Isnin), namun belum diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak.

“Setakat ini, Rumah Putih dan pejabat Netanyahu belum memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan media mengenai lawatan berkenaan,” memetik laporan BH online.

Trump pada September lalu mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan konflik dua tahun di Gaza, yang antaranya melibatkan pelaksanaan gencatan senjata bermula 10 Oktober serta penyerahan tebusan yang ditahan oleh Hamas.

Sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa, Hamas telah membebaskan 20 tebusan hidup dan menyerahkan 24 mayat kepada pihak berkuasa Israel. Bagaimanapun, masih terdapat empat tebusan yang dilaporkan meninggal dunia dan mayat mereka belum dipulangkan.

Fasa seterusnya pelan gencatan senjata itu dijangka menyaksikan penubuhan pasukan keselamatan pelbagai negara yang akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan di Gaza secara berperingkat daripada tentera Israel.

Namun, jurucakap kerajaan Israel menegaskan bahawa pasukan tersebut tidak akan melibatkan sebarang penyertaan anggota tentera dari Turkiye.

Sementara itu, Duta Besar AS ke Turkiye, Tom Barrack, ketika menghadiri satu persidangan keselamatan di Manama awal bulan ini berkata, Ankara dijangka tetap memainkan peranan dalam pasukan berkenaan.

Naib Presiden AS, JD Vance, turut menyatakan bulan lalu bahawa Turkiye mempunyai “peranan konstruktif” untuk membantu pelan damai tersebut, namun menegaskan Washington tidak akan memaksa Israel menerima kehadiran mana-mana pasukan asing di wilayahnya.

Lawatan Kushner ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha Trump melaksanakan pelan damai AS di Gaza menjelang penghujung tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button