BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lebih 1,300 kakitangan Jabatan Negara AS diberhentikan

WASHINGTON – Seramai lebih 1,300 kakitangan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) diberhentikan kerja semalam, susulan arahan pengurangan tenaga kerja yang dikeluarkan oleh Presiden AS, Donald Trump.

Langkah drastik itu adalah sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk merombak dan mengecilkan peranan Jabatan Negara, selaras dengan dasar “America First” yang menjadi teras kepimpinannya.

Menurut sumber dalam jabatan berkenaan, pemberhentian itu melibatkan pelbagai peringkat termasuk pegawai diplomatik, pakar dasar luar dan staf pentadbiran yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam urusan antarabangsa serta hubungan luar AS.

“Tindakan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan diplomat veteran mengenai kemampuan Jabatan Negara untuk mengekalkan pengaruh dan kepentingan AS di pentas global,” lapor media tempatan.

Menurut The Washington Post, kakitangan Jabatan Negara AS dimaklumkan mengenai pemberhentian mereka melalui e-mel.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyatakan bahawa jabatan dasar luar itu terlalu besar dan memerlukan pengurangan sebanyak kira-kira 15 peratus.

Beberapa pihak juga menyuarakan kebimbangan bahawa pengurangan kakitangan secara besar-besaran ini boleh menjejaskan keupayaan AS dalam menangani isu-isu geopolitik yang semakin kompleks, terutama ketika konflik antarabangsa dan hubungan dengan negara kuasa besar lain berada dalam keadaan sensitif.

Sementara itu, Rumah Putih dalam kenyataan ringkas menyatakan bahawa langkah pengurangan itu merupakan sebahagian daripada rasionalisasi perbelanjaan dan penstrukturan semula jabatan-jabatan kerajaan bagi memastikan lebih kecekapan serta pengurangan pembaziran.

Presiden Trump sebelum ini sering mengkritik pendekatan diplomasi AS yang dianggapnya terlalu berlembut dan tidak membawa pulangan yang sewajarnya kepada rakyat negara itu.

Sementara itu, Persatuan Perkhidmatan Luar Amerika (AFSA), kesatuan yang mewakili kakitangan Jabatan Negara AS, mengecam tindakan itu sebagai ‘tamparan yang membawa malapetaka kepada kepentingan negara’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button