Guterres dedah krisis kewangan PBB, mampu bertahan sehingga Julai
NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran badan dunia itu berkemungkinan kehabisan dana seawal Julai ini, sekali gus berdepan risiko keruntuhan kewangan dalam masa terdekat sekiranya negara anggota terus gagal melunaskan yuran tahunan masing-masing.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, krisis kewangan serius yang sedang melanda organisasi itu berpunca daripada tunggakan bayaran negara anggota serta kelemahan peraturan kewangan sedia ada yang perlu segera dirombak.
Menurut laporan Al Jazeera, perkara itu dinyatakan Guterres dalam sepucuk surat kepada semua negara anggota awal minggu ini, dengan amaran bahawa PBB kini berada di ambang krisis kewangan yang kritikal.
Dalam surat tersebut, beliau menggesa negara anggota sama ada bersetuju melakukan rombakan menyeluruh terhadap peraturan kewangan PBB atau berdepan “prospek sebenar keruntuhan kewangan organisasi itu”, selain menuntut pembayaran penuh yuran tahunan tanpa berlengah.
Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, keadaan kewangan badan dunia itu kini berada pada tahap membimbangkan.
“Kami tidak lagi mempunyai rizab tunai dan kecairan kewangan seperti tahun-tahun sebelumnya untuk terus berfungsi seperti biasa. Amaran ini telah disuarakan oleh Setiausaha Agung dengan semakin tegas setiap tahun,” katanya pada sidang media Jumaat lalu.
Walaupun Guterres tidak menamakan mana-mana negara secara khusus, rayuan itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengambil langkah mengurangkan pembiayaan Washington kepada institusi pelbagai hala, termasuk merancang menarik diri daripada beberapa agensi PBB.
Trump turut melancarkan inisiatif dikenali sebagai Board of Peace yang menurut pemerhati berpotensi meminggirkan peranan PBB.
Pengarah PBB di Human Rights Watch, Louis Charbonneau, menyifatkan inisiatif itu sebagai kelab global berkonsep ‘bayar untuk sertai’, berdasarkan yuran keahlian tetap mencecah AS$1 bilion (kira-kira RM4.7 bilion).
“Daripada menyerahkan cek AS$1 bilion kepada Trump, kerajaan sepatutnya bekerjasama melindungi PBB dan institusi lain yang diwujudkan untuk mempertahankan hak asasi manusia antarabangsa, undang-undang kemanusiaan, kedaulatan undang-undang dan kebertanggungjawaban,” katanya.
AS ketika ini menyumbang 22 peratus kepada bajet teras PBB, diikuti China sebanyak 20 peratus. Namun, sehingga akhir 2025, tunggakan yuran negara anggota dilaporkan mencecah paras tertinggi iaitu AS$1.57 bilion (sekitar RM7.38 bilion).
“Negara anggota mesti melunaskan obligasi mereka sepenuhnya dan tepat pada masanya atau peraturan kewangan perlu dirombak secara asas bagi mengelakkan keruntuhan kewangan,” tegas Guterres.
Pada awal Januari lalu, PBB meluluskan bajet berjumlah AS$3.45 bilion (kira-kira RM16.22 bilion) bagi 2026, iaitu penurunan tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya sebagai langkah penjimatan kos susulan tekanan kewangan yang dihadapi.
Namun, Guterres memberi amaran organisasi itu tetap berisiko kehabisan tunai seawal Julai ini.
Antara punca utama dikenal pasti ialah peraturan lama yang mewajibkan PBB memulangkan semula ratusan juta dolar yuran tidak dibelanjakan kepada negara anggota setiap tahun.
“Kami terperangkap dalam kitaran ala Kafka, di mana PBB dijangka memulangkan wang yang sebenarnya tidak wujud,” katanya.
Setakat Khamis lalu, hanya 36 daripada 193 negara anggota PBB dilaporkan telah menjelaskan sepenuhnya sumbangan kewangan mereka bagi 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








