Jambatan Gordie Howe, Trump desak Kanada bayar pampasan sebelum beroperasi
WASHINGTON – Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sekali lagi diuji apabila Presiden AS, Donald Trump, mengeluarkan ancaman untuk menghalang pembukaan Jambatan Antarabangsa Gordie Howe yang menghubungkan kedua-dua negara, sekali gus mencetuskan kontroversi baharu di antara Washington dan Ottawa.
Trump mempersoalkan pemilikan penuh Kanada terhadap jambatan yang menghubungkan wilayah Ontario dengan negeri Michigan dan dijadualkan dibuka kepada umum pada tahun ini.
Menurut beliau, Amerika Syarikat sepatutnya memiliki sekurang-kurangnya separuh daripada jambatan berkenaan serta berhak menerima pampasan atas sumbangan yang didakwa telah diberikan.
Ancaman tersebut disuarakan menerusi platform Truth Social apabila Trump menegaskan beliau tidak akan membenarkan jambatan itu dibuka selagi Amerika Syarikat tidak menerima pampasan sepenuhnya dan Kanada tidak melayan Washington secara adil serta penuh hormat.
Beliau turut mengumumkan rundingan akan dimulakan serta-merta bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Trump mendakwa pembinaan jambatan itu hampir tidak menggunakan produk keluaran AS dan menuduh kerajaan Kanada meminggirkan kepentingan negara jiran selatannya.
Presiden AS itu juga mengkritik Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, susulan langkahnya mengadakan rundingan perdagangan awal dengan China.
Trump menyifatkan sebarang perjanjian antara Kanada dan China sebagai sesuatu yang berisiko besar malah mendakwa ia akan ‘memakan Kanada hidup-hidup’, sambil menegaskan AS hanya akan menerima kesan sampingan yang merugikan.
Ketegangan bertambah apabila Washington memberi bayangan akan mengenakan tarif sehingga 100 peratus ke atas Kanada berikutan lawatan Carney ke Beijing bulan lalu.
Dalam kenyataan berasingan, Trump turut mengulangi dakwaan bahawa China akan ‘menamatkan semua sukan hoki ais di Kanada’, satu tuduhan yang disifatkan pemerhati sebagai tidak berasas.
Hubungan Ottawa-Washington dilihat semakin meruncing sejak Trump kembali ke White House pada Januari 2025. Sebelum ini, beliau pernah mencetuskan kontroversi dengan mencadangkan supaya AS ‘mengambil alih’ Kanada, walaupun kenyataan sedemikian semakin jarang kedengaran kebelakangan ini.
Sementara itu, Carney dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia di Davos bulan lalu memberi amaran bahawa sistem global yang sekian lama berteraskan kepimpinan AS kini sedang mengalami ‘keretakan’, satu sindiran terhadap pendekatan Trump yang didakwa menjejaskan kestabilan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








