BERITA SEMASAPMX

Trump kagum kawalan keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN, mahu jumpa Ketua Polis Negara – Anwar

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi menyampaikan penghargaan atas kecekapan pasukan keselamatan Malaysia sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini.

Anwar berkata, rasa kagum Trump terhadap tahap profesionalisme pasukan keselamatan negara disuarakan semasa lawatan rasminya ke Malaysia ketika sidang kemuncak berprofil tinggi itu berlangsung bulan lalu.

“Saya masih ingat, Presiden Trump minta kebenaran hendak berjumpa Ketua Polis Negara untuk menyatakan penghargaan kerana tahap kecekapan dan disiplin pasukan keselamatan kita amat membanggakan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah turut diiktiraf pemimpin dunia lain termasuk Premier China, Li Qiang, yang memuji keberkesanan pengurusan keselamatan dan kelancaran keseluruhan acara.

“Kejayaan pasukan kita, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), membuktikan kemampuan negara mengendalikan sidang antarabangsa yang melibatkan ramai pemimpin dunia dengan tahap keselamatan tertinggi,” jelas Anwar.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini, hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button