LUAR NEGARA

Trump dakwa Iran benarkan 10 kapal minyak lepasi Selat Hormuz sebagai ‘hadiah’ kepada AS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Iran membenarkan 10 kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz pada minggu ini sebagai ‘hadiah’ kepada negara itu.

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat Kabinet pada Khamis, dengan menjelaskan bahawa tindakan tersebut kononnya sebagai tanda kesungguhan Iran dalam menunjukkan pendirian mereka.

“Mereka kata untuk membuktikan mereka benar-benar serius, mereka akan membenarkan lapan kapal minyak berlayar. Kemudian mereka memohon maaf atas kenyataan sebelum ini dan menambah dua lagi kapal, menjadikan keseluruhan 10 kapal,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan dakwaan terdahulu oleh Trump yang menyebut Iran telah memberikan ‘hadiah’ berkaitan minyak dan gas, tanpa memperincikan butiran pada ketika itu.

Trump turut menegaskan bahawa Amerika Syarikat sedang menjalankan perbincangan yang sangat penting berkaitan Iran, walaupun pihak Tehran menafikan sebarang rundingan langsung telah diadakan.

Dalam perkembangan sama, utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff, memaklumkan terdapat beberapa usaha dari pelbagai pihak serantau untuk membantu menamatkan konflik secara aman.

Beliau turut mengesahkan bahawa Washington telah mengemukakan rangka kerja 15 perkara bagi perjanjian damai yang disampaikan melalui Pakistan sebagai perantara.

Bagaimanapun, media rasmi Iran melaporkan bahawa Tehran menolak cadangan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat dan mengemukakan syarat balas sendiri untuk menamatkan konflik.

Cadangan tersebut termasuk tuntutan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz, laluan penting penghantaran minyak dunia yang dilaporkan terjejas sejak konflik tercetus hampir empat minggu lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan bekalan terutama di rantau Asia Pasifik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button