‘PM maklumkan kapal Malaysia tidak dikenakan caj ketika lalui Selat Hormuz’ – Anthony
SEREMBAN – Kementerian Pengangkutan mengesahkan kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz ketika konflik di Asia Barat, tidak dikenakan sebarang caj tol.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), di Putrajaya pagi tadi.
“Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi telah memaklumkan perkara ini kerana Malaysia dianggap sebagai negara sahabat dengan hubungan diplomatik yang kukuh, dan tiada caj tol dikenakan terhadap kapal Malaysia.
“Perdana Menteri juga berkongsikan perkara ini dalam mesyuarat MTEN,” katanya kepada pemberita \selepas menghadiri majlis penyampaian cek cura kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Chan Hwa, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata pihaknya mengadakan sesi libat urus secara berkala dengan pemain industri penerbangan negara berhubung kesan konflik Asia Barat.
“Beberapa syarikat penerbangan memberitahu kerajaan bahawa mereka mungkin akan merasionalisasikan operasi termasuk menggabungkan penerbangan bagi meningkatkan kecekapan.
“Jika faktor muatan rendah, mungkin beberapa penerbangan di laluan tertentu dikurangkan,” katanya.
Beliau menambah, langkah berkenaan bersifat sementara berikutan kos bahan api yang amat tinggi pada masa ini.
Berkenaan sektor perkapalan, Anthony berkata, kerajaan dan pihak berkepentingan sedang berbincang untuk memperkenalkan mekanisme surcaj yang lebih bersusun dan seragam bagi memastikan penetapan harga yang adil dan mampan.
Beliau berkata, Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) juga telah membentangkan pandangan mereka kepada mesyuarat MTEN, termasuk gesaan untuk pengurusan dan tadbir urus surcaj yang lebih baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








