BUDI Diesel: Subsidi bersasar guna MyKad, harga RM2.10 seliter mulai 1 Julai
PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di seluruh negara bermula 1 Julai ini menerusi mekanisme subsidi yang lebih bersasar menggunakan MyKad, sekali gus menyeragamkan harga runcit diesel dan kaedah pembiayaannya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerusi pelaksanaan baharu itu, harga diesel akan diapungkan di seluruh negara, manakala rakyat Malaysia yang layak akan terus menikmati subsidi melalui sistem BUDI Diesel.
Menurutnya, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak akan dapat membeli diesel pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad di semua stesen minyak.
“Pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini berhasrat menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus dan mudah.
“Berikutan keberkesanan BUDI95 yang terbukti, kaedah menggunakan MyKad bagi penyasaran subsidi kini diperluaskan kepada subsidi diesel,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan tersebut.
Menurutnya, penerima sedia ada BUDI Diesel Individu tidak lagi akan menerima bantuan tunai bulanan RM400 kerana bantuan berkenaan digantikan dengan subsidi terus di stesen minyak.
“Pembelian boleh dibuat menggunakan tunai, kad debit, kad kredit atau e-dompet terpilih seperti biasa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah berkata, setiap penerima yang layak akan diberikan kuota asas sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel sama ada untuk pembelian diesel atau petrol RON95 bersubsidi.
“Pemilik kenderaan jenis pikap dan jip pula boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 300 liter sebulan.
“Langkah ini mengambil kira keperluan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penduduk luar bandar dan pedalaman yang banyak bergantung kepada kenderaan diesel,” katanya lagi.
Beliau turut mengumumkan peluasan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ke Sabah dan Sarawak yang membolehkan kira-kira 70,000 kenderaan komersial layak menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter menerusi penggunaan kad armada (fleet card).
Selain itu, kemudahan subsidi diesel menggunakan MyKad turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik generator di kawasan pedalaman.
Pada masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi strategik sedia ada melibatkan nelayan yang menikmati diesel pada harga RM1.65 seliter, pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres di bawah SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter serta petani kecil melalui program BUDI Agri-Komoditi.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, akses awal BUDI Diesel akan dibuka bermula 27 Jun ini kepada pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia.
Orang ramai boleh membuat semakan kelayakan serta mengemukakan permohonan kuota tambahan melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula hari ini, selain boleh berbuat demikian secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Menurut kerajaan, langkah penyasaran semula subsidi diesel itu dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan memastikan manfaat subsidi dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








