LUAR NEGARA

Trump jamin Selat Hormuz dibuka sepenuhnya Jumaat ini

EVIAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya mulai Jumaat ini susulan termeterainya Perjanjian Damai antara AS dan Iran yang menamatkan konflik di Asia Barat.

Trump berkata, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi perdagangan minyak dunia itu kini sudah dibuka sebahagian, manakala kerja-kerja pembersihan dan pemulihan sedang giat dijalankan bagi memastikan operasi pelayaran dapat kembali berfungsi seperti biasa.

Menurut beliau, pentadbirannya yakin laluan berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Selat Hormuz akan dibuka sepenuhnya pada Jumaat. Keadaan kini semakin stabil dan usaha pembersihan sedang dilaksanakan,” memetik Buletin TV3 online.

Dalam pada itu, Trump menegaskan AS tidak memerlukan banyak bantuan daripada negara luar untuk menjamin keselamatan perairan tersebut walaupun Britain dan Perancis sebelum ini mencadangkan pembentukan misi tentera laut bersama.

Beliau turut menyifatkan perjanjian damai yang dicapai dengan Iran sebagai satu kejayaan besar kepada Washington, khususnya dalam memastikan republik Islam itu tidak memiliki senjata nuklear.

Menurutnya, hubungan antara AS dan kepimpinan baharu Iran kini berada pada tahap yang baik dan diyakini mampu membuka lembaran baharu kepada kestabilan rantau Asia Barat.

“Matlamat utama kami adalah memastikan Iran tidak mempunyai senjata nuklear. Kami kini mempunyai hubungan yang baik dengan kepimpinan baharu mereka dan berharap perjanjian ini membawa manfaat kepada seluruh rantau,” katanya lagi.

Trump turut memaklumkan Naib Presiden AS, JD Vance akan mewakili negara itu pada majlis menandatangani perjanjian damai berkenaan yang dijadual berlangsung pada Jumaat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button