‘Turn the volume up’ – Zohran Mamdani kepada Donald Trump
NEW YORK – Datuk Bandar baharu New York, Zohran Mamdani, tampil dengan mesej tegas kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump apabila beliau berikrar untuk menentang politik perpecahan dan kronisme yang pernah melonjakkan tokoh Republikan itu ke Rumah Putih.
Mamdani, yang meraih kemenangan besar ke atas bekas Gabenor Andrew Cuomo, berkata, keputusan pilihan raya kali ini membuktikan bahawa New York mampu menjadi “cahaya” dalam zaman kegelapan politik.
“Di kota ini, kita berdiri mempertahankan mereka yang kita sayangi sama ada anda seorang pendatang, ahli komuniti transgender, wanita kulit hitam yang pernah dipecat oleh Donald Trump daripada perkhidmatan persekutuan, ibu tunggal yang masih menunggu harga barang keperluan turun, atau sesiapa sahaja yang kini berada dalam kesempitan,” katanya.
Mamdani, yang merupakan Datum Bandar Muslim pertama New York, menegaskan tidak akan ada lagi ruang untuk sentimen Islamofobia dijadikan modal politik di bandar itu.
Beliau berkata, sekiranya ada kota yang boleh menunjukkan kepada rakyat Amerika Syarikat cara menewaskan Trump, ia adalah kota yang melahirkannya.
“Donald Trump, saya tahu anda sedang menonton, dan saya ada empat perkataan untuk anda ‘turn the volume up’,” katanya sambil disambut sorakan gemuruh penyokong.
Kemenangan Mamdani menandakan kebangkitan luar biasa bagi tokoh Demokratik sosialis tersebut selepas kejayaan pada pemilihan utama Jun lalu, serta kejatuhan dramatik bagi Cuomo.
Dalam ucapannya, Mamdani menegaskan komitmen terhadap dasar-dasar utama pentadbirannya, termasuk memastikan tuan tanah bertanggungjawab terhadap layanan kepada penyewa; menamatkan budaya rasuah yang menguntungkan golongan bilionair, serta memperkukuh perlindungan pekerja dan kesatuan.
“New York akan terus menjadi kota untuk pendatang dibina oleh pendatang, digerakkan oleh pendatang, dan mulai malam ini, diterajui oleh seorang pendatang.
“Sampaikan kepada Presiden Trump, untuk sampai kepada mana-mana daripada kami, anda perlu berdepan dengan kami semua. Dalam masa 58 hari apabila kami melangkah ke dewan bandar, jangkaan akan tinggi dan kami akan menunaikannya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








