Trump batalkan konsert, pilih perhimpunan mega sempena ulang tahun ke-250 AS
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan sambutan ulang tahun ke-250 negara itu pada 24 Jun depan akan diisi dengan perhimpunan besar-besaran di bandar ini menggantikan konsert yang dirancang sebelum ini.
Menurut Trump, keputusan itu dibuat selepas beberapa artis menarik diri daripada menyertai acara berkenaan, sekali gus mendorong penganjur menukar format sambutan kepada sebuah perhimpunan yang disifatkannya sebagai luar biasa.
“Bagi meraikan sejarah 250 tahun negara kita, kami akan membawakan kepada rakyat satu perhimpunan secara langsung yang paling hebat pernah diadakan.
“Ia akan menjadi luar biasa dalam setiap aspek dan mengatasi semua perhimpunan yang pernah dianjurkan sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Trump turut menyindir artis yang menarik diri daripada persembahan itu dengan menyatakan beliau tidak berminat menampilkan penyanyi yang mengenakan bayaran tinggi tetapi gagal menarik minat penonton.
Menurutnya, acara berkenaan akan lebih menumpukan kepada penyertaan rakyat, ucapan tokoh-tokoh tertentu serta muzik patriotik yang dekat dengan masyarakat Amerika.
Antara yang dijangka membuat persembahan ialah penyanyi lagu patriotik terkenal, Lee Greenwood yang sering dikaitkan dengan kempen dan perhimpunan politik Trump menerusi lagu popularnya, God Bless the USA.
Perhimpunan itu juga dijadual menampilkan persembahan pancaragam dan koir tentera Amerika Syarikat selain ucapan khas daripada Trump sendiri.
Sebelum ini, Trump pernah mencadangkan satu himpunan khas melibatkan penyokong gerakan ‘Make America Great Again’ (MAGA), namun perkara tersebut tidak disentuh dalam pengumuman terbaharunya mengenai acara sambutan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








