Pentagon didakwa tingkat ancaman intipan Israel ke tahap ‘kritikal’
WASHINGTON – Agensi perisikan di bawah Pentagon dilapor telah meningkatkan tahap ancaman aktiviti pengintipan Israel terhadap Amerika Syarikat (AS) daripada kategori ‘tinggi’ kepada ‘kritikal’ sejak beberapa minggu lalu.
Menurut laporan NBC News dan The New York Times yang memetik sumber tanpa nama, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap taktik pengumpulan maklumat yang semakin agresif ketika konflik melibatkan AS, Israel dan Iran terus menjadi perhatian.
Laporan itu mendakwa, Agensi Perisikan Pertahanan AS (DIA) meningkatkan tahap amaran berikutan kebimbangan bahawa Israel sedang memperhebat usaha memantau pegawai kanan kerajaan AS bagi mendapatkan maklumat mengenai perbincangan dalaman Rumah Putih berkaitan usaha menamatkan peperangan.

Perbezaan pendirian antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai hala tuju konflik itu turut dikatakan menjadi faktor yang mencetuskan kebimbangan berkenaan.
Trump sebelum ini beberapa kali menyatakan hasrat untuk menamatkan peperangan berikutan tekanan politik yang semakin meningkat di dalam negara, manakala Netanyahu terus menegaskan operasi ketenteraan perlu diteruskan walaupun gencatan senjata diumumkan pada 8 April lalu.
Menurut The New York Times, walaupun Israel sememangnya diketahui menjalankan aktiviti risikan terhadap AS sejak sekian lama, DIA mengesan peningkatan ketara dalam aktiviti tersebut sejak penghujung 2024 apabila pentadbiran Presiden AS ketika itu, Joe Biden, meningkatkan tekanan terhadap Israel berhubung perang di Gaza.
Aktiviti berkenaan dilaporkan berterusan pada 2025 selepas Trump kembali memegang jawatan Presiden dan mula menilai pendekatan Washington terhadap Iran.
Laporan itu turut mendakwa beberapa penilaian perisikan lain menunjukkan wujud usaha Israel memantau utusan khas Trump, Steve Witkoff selain pegawai kanan dasar Pentagon, Elbridge Colby serta timbalannya, Michael DiMino IV.
Seorang jurucakap yang enggan dikenali dilaporkan memberitahu kedua-dua organisasi media bahawa dakwaan berkenaan adalah ‘tidak benar’.
Bagaimanapun, laporan tersebut dijangka menimbulkan persoalan mengenai hubungan rapat serta kerjasama risikan dan ketenteraan antara AS dan Israel yang telah terjalin sejak sekian lama.
Washington merupakan antara penyumbang utama bantuan ketenteraan kepada Israel, dengan berbilion dolar bantuan dan penjualan senjata disalurkan setiap tahun, termasuk ketika konflik di Gaza berlangsung.
Kongres AS ketika ini juga sedang membahaskan sebahagian rang undang-undang pertahanan baharu yang berpotensi mengintegrasikan penyelidikan dan pembangunan teknologi persenjataan antara kedua-dua negara pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Walaupun operasi risikan sesama negara sekutu bukan sesuatu yang luar biasa, pegawai AS yang dipetik media berkenaan menyifatkan tahap aktiviti yang dikaitkan dengan Israel kali ini sebagai luar biasa.
The New York Times melaporkan penarafan ancaman yang diberikan DIA terhadap Israel kini mengatasi semua negara sekutu lain dan turut melebihi beberapa negara yang mempunyai hubungan lebih tegang dengan AS.
Antara insiden yang didakwa berlaku ialah cubaan unit perisikan tentera Israel memasang peranti pendengaran di ibu pejabat DIA pada 2021.
Selain itu, pada 2025, agensi perisikan domestik Israel, Shin Bet turut didakwa cuba meletakkan peranti serupa dalam sebuah kenderaan milik Perkhidmatan Rahsia AS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








