Cadangan PAS terajui PN Selangor hanya pandangan peribadi – Ab Halim
SHAH ALAM – Cadangan Ketua Pemuda PAS Selangor agar PAS menerajui Perikatan Nasional (PN) Selangor hanyalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri menegaskan perkara itu beberapa kali kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa parti di sini.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar tidak mewakili pandangan rasmi PAS Selangor.
“Pemuda ada cadangkan tapi itu pandangan peribadi, bukan pandangan PAS Selangor. Bukan pandangan rasmi, itu pandangan peribadi dia,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa PAS di sini, hari ini.
Baca juga : PAS Selangor sedia hadapi PRU-16, rangka tawaran pembangunan inklusif
Ahad lalu, Sukri mencadangkan PAS menerajui PN Selangor selain menamakan Ab Halim sebagai pengerusi baharu gabungan tersebut bagi menggantikan Azmin Ali daripada Bersatu yang melepaskan jawatan pada Disember lalu.
Azmin sebelum itu mengambil langkah sama seperti Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN.
Menurut Sukri, PN memerlukan ‘nafas baharu’ dan berpendapat Ab Halim mempunyai pasukan yang berpengalaman dalam pentadbiran Selangor termasuk bekas exco negeri, Iskandar Abdul Samad dan Zaidy Abdul Talib.
Dalam pada itu, Ab Halim berkata setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenai pelantikan pengerusi baharu PN Selangor.
“Kita tak tahu siapa lagi. Tak ada nama lagi. Lantikan atas mesyuarat PN pusat. Kita ikut sahaja,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Shafie Ngah memaklumkan pimpinan pusat PN dijangka membuat keputusan mengenai jawatan pengerusi baharu PN Selangor pada Sabtu ini.
Katanya, tanpa pengerusi PN Selangor, sebarang keputusan tidak dapat dibuat.
“Tanpa pengerusi PN Selangor, tak boleh buat apa-apa keputusan,” katanya.
Majlis tertinggi PN dijadualkan bersidang Sabtu ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








