BN terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana parti politik di Sabah – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik di Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, mana-mana parti atau gabungan politik yang berpangkalan di pusat wajib bekerjasama dengan parti politik atau gabungan di Sabah bagi memastikan kejayaan dalam pilihan raya tersebut.
“Walaupun kita belum memuktamadkan bentuk ‘grand coalition’ (gabungan besar), kami sedang mengeksplorasi beberapa kemungkinan. Gabungan itu boleh melibatkan BN-PH plus plus plus kerana sepatutnya kita tidak tertakluk kepada satu atau dua sahaja gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perkhidmatan Kecemerlangan dan Apresiasi 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN terbuka untuk mengadakan perundingan dan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti politik lain di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadualkan sebelum 8 Disember ini.
Kenyataan Ahmad Zahid dibuat susulan pengumuman kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang disambut baik oleh Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara BN dan GRS dalam PRN Sabah, Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan parti tersebut.
“Saya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan mereka (GRS) dan bukan hanya dengan GRS, kami juga terbuka untuk mengadakan perundingan dengan parti politik lain di Sabah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








