BERITA SEMASAPOLITIK

Senarai pemohon sertai semula UMNO akan diumumkan nanti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Senarai nama pihak yang telah memohon untuk menyertai semula UMNO akan diumumkan pada masa sesuai, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid menegaskan, jumlah bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung termasuk mana-mana individu yang memohon juga, tidak akan dikongsikan secara umum buat masa ini.

“Senarai-senarai itu saya tidak kongsikan dengan media, itu hak kami. Bilangannya juga tidak perlu saya nyatakan, nanti tiba masanya kita umumkan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama warga pengurusan tertinggi FELDA di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO mengambil langkah proaktif dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka yang pernah dipecat, digantung atau meninggalkan perjuangan parti untuk kembali menyertai parti itu.

Beliau berkata, peluang itu juga terbuka kepada mereka yang sebelum ini belum berkesempatan menyertai parti berkenaan.

“Dengan bulan Ramadan ini kita berbaik sangka dengan semua pihak dan mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan rumah bangsa ini sebagai satu wadah bagi penyatuan semula ummah.

“Terutamanya untuk membawa mereka yang pernah menjadi ahli UMNO dan juga yang berminat menjadi ahli UMNO supaya berbuat demikian dalam waktu terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti-parti Melayu Islam yang melibatkan 12 parti bagi membincangkan agenda nasional serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama.

Ahmad Zahid berkata, beberapa parti tidak menghantar wakil, namun perbincangan yang diadakan tertumpu kepada agenda kerajaan termasuk isu berkaitan agama Islam serta agenda bumiputera.

Katanya, pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan berhubung dasar kerajaan bagi mengelakkan tanggapan bahawa Melayu tergugat atau Islam terancam.

“Kita tidak mahu ada tanggapan bahawa Melayu tergugat, Islam terancam. Perkara seperti ini memerlukan fakta untuk penjelasan.

“Kita tidak perlu berkelagah dalam isu-isu berkenaan kerana ia merupakan isu bersama. Jika terdapat kekurangan, perlu ada cadangan untuk memperkukuhkan keadaan, bukan serangan dari luar berdasarkan ketidakfahaman terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button