
PRN: BN bertanding lebih 100 kerusi
CHUKAI – Barisan Nasional (BN) akan bertanding di lebih daripada 100 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dijangka akan meletakkan calon di 45 peratus daripada 245 kerusi DUN dengan selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, keputusan itu adalah berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.
“Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH… Sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH.
“Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat BN di Pantai Penunjuk dekat sini, hari ini.
PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
“Saya dan perdana menteri akan berbincang buat kali terakhir pada minggu hadapan bagi seluruh enam negeri… kawasan bertindih juga kita telah dapat selesaikan.
“Insya-Allah lepas ni kita akan selesaikan pula tentang calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH. Biro politik telah ambil keputusan, setiap DUN, pihak perhubungan negeri akan kemuka sekurang-kurangnya tiga calon,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, setiap calon perlu melalui saringan daripada aspek boleh menang, termasuk penelitian turut dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Mahkamah Syariah.
“Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon,” kata Ahmad Zahid lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















