POLITIK

Sabah perlukan wakil rakyat berwawasan – Nurul Izzah

SANDAKAN – Sabah memerlukan wakil rakyat yang benar-benar memahami visi dan misi pembangunan negeri bagi memastikan hala tuju masa depan lebih baik berbanding keadaan sekarang.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, negeri itu berdepan pelbagai isu yang memerlukan perhatian serius, termasuk pembangunan sektor ekonomi, infrastruktur, kewarganegaraan serta kesan legasi pemerintahan terdahulu.

“Semasa Kongres Nasional Tahunan PKR 2024/2025 pada Mei lalu, saya sebut sasaran 13 kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Namun, yang lebih penting adalah suara anak negeri sendiri.

“Sejak penubuhan Keadilan di Sabah pada 1999, parti ini perlu terus berakar di sini. Bagi saya, pemimpin yang mempunyai visi amat penting. Bukan soal berapa banyak kerusi ditandingi, tetapi bagaimana kita boleh menjadi suara yang memberi nilai tambah kepada rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Jelajah Sabah Bersama MADANI di Sandakan, semalam.

Nurul Izzah berkata, sentimen pengundi yang cenderung kepada parti tempatan bukan satu cabaran besar kerana calon PKR yang diketengahkan dalam PRN akan datang semuanya merupakan anak Sabah.

“Calon-calon ini akan membawa suara rakyat negeri ini secara langsung, sekali gus memastikan perjuangan parti selari dengan keperluan masyarakat tempatan,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, membuka jalan kepada PRN Sabah ke-17.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button