BERITA SEMASA

PRN Johor 2026 berbeza dengan 2022, kali ini PH datang dengan rekod dan pencapaian Kerajaan Madani – Edy Noor

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 disifatkan berlangsung dalam landskap politik yang jauh berbeza berbanding PRN Johor 2022, dengan Pakatan Harapan (PH) kini memasuki medan pilihan raya sebagai parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, PRN Johor 2022 berlangsung ketika moral jentera PH berada pada tahap yang rendah susulan kekalahan dalam PRN Melaka serta kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan kadar keluar mengundi merosot.

Menurut beliau, keadaan tersebut memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) apabila ramai pengundi atas pagar memilih untuk tidak keluar mengundi, sekali gus membantu BN mencatat kemenangan besar di Johor.

“Situasi politik ketika itu turut dipengaruhi persepsi terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang masih berdepan kesan daripada episod Langkah Sheraton sebelum akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

“Pada tahun 2022, PH hanya memiliki seorang Anwar Ibrahim sebagai simbol harapan. Namun pada tahun 2026, PH hadir bersama seorang Perdana Menteri yang mempunyai rekod pentadbiran serta pencapaian Kerajaan MADANI yang boleh dinilai oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Edy berpandangan faktor tersebut mampu meningkatkan keyakinan pengundi, khususnya pengundi atas pagar untuk keluar mengundi pada PRN kali ini.

Beliau turut berkata, calon-calon PH pada PRN Johor 2026 tampil dengan identiti, integriti dan rekod masing-masing, selain mendapat manfaat daripada kepimpinan Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun setengah mentadbir negara.

Mengulas kedudukan BN, beliau berkata tekanan kali ini lebih terarah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mempertahankan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu.

Beliau juga berpendapat rakyat Johor kini mempunyai peluang untuk mempertimbangkan pembentukan kerajaan negeri baharu di bawah PH, sambil menyifatkan gabungan kekuatan pembangunan negeri-negeri yang diterajui PH sebagai formula yang berpotensi membawa kemajuan kepada Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button