PRN Johor: Puad dakwa BN bakal tewas di Rengit
BATU PAHAT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Barisan Nasional (BN) berdepan risiko kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Beliau berkata, program Grand Finale Rengit yang berlangsung di sebuah perkampungan Orang Asli Bumiputera Dalam memberi petanda berlakunya kebangkitan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kehadiran kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli yang didaftarkan pada program itu menunjukkan perubahan sentimen pengundi yang berpotensi menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya di DUN Rengit.
“Saya yakin masyarakat Orang Asli akan menjadi titik tolak kepada kekalahan pertama BN di DUN Rengit,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Puad berkata, antara isu yang dibangkitkan secara spontan oleh penduduk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah berkaitan pengambilan semula tanah bagi tapak perumahan masyarakat Orang Asli serta permintaan penambahan lot kedai untuk aktiviti perniagaan barang terpakai.
Menurut beliau, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti dan memberi perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan penduduk terbabit.
Dalam masa sama, Puad mendakwa BN mula menunjukkan tanda-tanda kegusaran apabila kawasan yang selama ini dianggap kubu kuat parti itu berjaya ditembusi pihak lawan.
Beliau turut berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijadualkan menghadiri program di kawasan berkenaan pada petang ini sebagai usaha memperkukuh kembali sokongan pengundi menjelang hari pengundian.
Sebelum itu, Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor mengumumkan keluar daripada UMNO dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada PRN Johor ke-16.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















