PRN Johor: BN hasrat letak calon di semua kerusi dimenangi
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor berhasrat mempertahankan semua 40 kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 pada 2022 sekiranya menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pakatan Harapan (PH).
Menurut Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, baki 16 lagi kerusi DUN akan dirundingkan dengan parti yang akan bekerjasama dengan BN pada PRN akan datang.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan BN meletakkan calon di kesemua 56 kerusi sekiranya perikatan itu bertanding secara solo, lapor FMT, hari ini.
“Sejak memenangi PRN pada 2022, jentera BN sudah bergerak melaksanakan manifesto dan tanggungjawab kepada rakyat, termasuk di kawasan yang kita tewas.
“Jadi 40 kerusi yang kita menang itu kita akan pertahankan,” katanya.
Setakat ini, katanya, belum ada keputusan sama ada BN akan bekerjasama dengan parti lain atau bertanding sendirian kerana perkara itu bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti.
Merujuk sasaran PKR Johor untuk bertanding 28 kerusi, Abdul Halim berkata, keadaan itu memberi bayangan mungkin PKR tidak bekerjasama dengan BN sebaliknya bersama PH yang turut dianggotai DAP serta AMANAH.
“Jika mereka mahu bergerak solo, itu hak mereka. Bagi BN, kita sentiasa bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata prestasi baik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meletakkan beliau sebagai calon yang paling sesuai dijadikan ‘poster boy’ BN nanti.
Onn Hafiz dilantik ke jawatan itu selepas PRN Johor ke-15 yang menyaksikan BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH (12), Perikatan Nasional (3) dan Muda (1).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








