BN Johor terus perkukuh kerjasama dengan Putrajaya – Zahid
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor yang bakal diterajui Barisan Nasional (BN) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih berkesan demi manfaat rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sinergi antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya diyakini mampu mempercepat pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri serta negara.
“Saya yakin kerajaan negeri BN akan terus menjalin kerjasama dengan kerajaan perpaduan di Putrajaya.
“Kerjasama ini akan membuahkan hasil bukan sahaja kepada kerajaan negeri, malah kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media malam tadi.
Terdahulu, BN menang bergaya di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam.
Keputusan berdasarkan kiraan undi di semua saluran yang sebahagian besar sudah selesai itu, sekali gus merekodkan pencapaian lebih baik dan cemerlang BN berbanding yang diraih pada PRN Johor Mac 2022.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang dirangka dapat diterjemahkan menerusi pelaksanaan yang berkesan.
“Kita berharap segala perancangan di bawah rancangan pembangunan negara serta perancangan lain dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor atas mandat yang diberikan kepada BN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















