BERITA SEMASA

Sinar Harian sedia bekerjasama dengan RTM, Astro Awani anjur debat PRN Johor

SHAH ALAM – Sinar Harian bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi media, termasuk RTM dan Astro Awani, bagi menganjurkan debat atau dialog terbuka melibatkan calon-calon utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai usaha memperkukuh amalan demokrasi negara.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, media bukan sekadar berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah perlu menyediakan platform kepada pemimpin politik untuk menjelaskan idea, dasar serta penyelesaian yang ditawarkan kepada rakyat secara terbuka.

Menurut beliau, sekiranya semua pihak bersetuju, Sinar Harian bersedia berganding bahu dengan RTM, Astro Awani serta platform media lain bagi merealisasikan sesi debat atau dialog berkenaan.

“Sebagai organisasi media yang sentiasa mengangkat kepentingan rakyat, kami percaya debat yang dikendalikan secara profesional, adil dan seimbang mampu meningkatkan kualiti wacana politik negara.

“Pengundi hari ini bukan sekadar mahu mendengar ceramah politik semata-mata. Mereka mahu melihat calon berhujah, mempertahankan dasar dan menjawab persoalan rakyat secara terus,” katanya.

Beliau mengulas kesediaan Astro Awani untuk bekerjasama dengan RTM menyediakan platform siaran langsung bagi dialog interaktif sekiranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersetuju berdebat dengan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.

Zamri turut berpandangan bahawa budaya debat yang sihat merupakan amalan biasa di negara-negara demokrasi maju dan wajar diperluaskan di Malaysia, khususnya ketika musim pilihan raya.

Beliau berkata, Sinar Harian mempunyai pengalaman menganjurkan beberapa siri debat melibatkan tokoh politik utama negara, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain debat membabitkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan Datuk Seri Azeez Rahim serta Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai calon dan pemimpin politik bersedia menyertai debat terbuka kerana ia mencerminkan kematangan politik serta komitmen terhadap prinsip akauntabiliti dan ketelusan dalam sistem demokrasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button