PRN Johor: BN umum senarai calon seminggu sebelum penamaan – Zahid Hamidi
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat sebelum diumumkan kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada beberapa isu berkaitan calon dan persiapan pilihan raya diselesaikan lebih awal.
Menurut beliau, pengumuman calon akan dibuat pada waktu yang sesuai selepas proses penelitian dan penyelarasan dimuktamadkan.
“Insya-Allah, nama-nama calon akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon. Kita mahu beberapa isu dapat diselesaikan lebih awal di DUN-DUN tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka dikekalkan sebagai ‘poster boy’ BN bagi menghadapi PRN Johor, tertakluk kepada perkenan pihak Istana.
Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan selepas mendapat perkenan P Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pembubaran itu membuka laluan kepada PRN Johor Ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari seperti diperuntukkan di bawah undang-undang pilihan raya.
Mengulas kemungkinan menampilkan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Zahid tidak menolak perkara itu, malah memberi bayangan bahawa calon daripada golongan muda serta bakat kepimpinan baharu akan turut diketengahkan.
“Kali ini mungkin akan turut mewarnai senarai calon dengan wajah-wajah baharu dan bakat kepimpinan baharu di negeri Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi isyarat bahawa BN masih terbuka kepada pertandingan satu lawan satu bagi mengelakkan perpecahan undi antara parti-parti yang mempunyai matlamat politik hampir sama.
Katanya, ruang perbincangan dan rundingan politik masih terbuka melalui beberapa formula serta pendekatan yang sedang diusahakan.
“Kita tidak menutup pintu sepenuhnya. Masih ada harapan melalui beberapa formula dan pendekatan yang kita lakukan secara politik,” katanya
Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) satu kerusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















