Khaled Nordin pertahan pendekatan BN tampil calon baharu, lama hadapi PRN Johor
KLUANG – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bagi memastikan pentadbiran negeri terus stabil sekiranya diberi mandat oleh rakyat, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO itu berkata, pendekatan berkenaan lebih praktikal berbanding mempertaruhkan keseluruhan barisan calon baharu semata-mata bagi memenuhi persepsi bahawa parti sedang melalui proses pembaharuan.
“Kalau kita beri semua calon baru, ia umpama kita lakukan percubaan maka atas sebab itulah yang terbaik, perlu ada gandingan dan gabungan antara baharu dengan yang lama,” katanya selepas menghadiri Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mendakwa UMNO masih mempertaruhkan ramai calon ‘kitar semula’ pada PRN Johor.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu sebelum ini mendakwa senarai calon yang diumumkan BN tidak mencerminkan usaha pembaharuan parti kerana masih didominasi calon daripada generasi lama.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, keutamaan BN bukan sekadar memperkenalkan muka baharu, sebaliknya memastikan calon yang dipilih benar-benar mempunyai kemampuan untuk mentadbir serta melaksanakan amanah sekiranya dipilih rakyat.
“Kita bukan hendak pamer semua calon baharu. Lepas menang nanti, kalau tak tahu hendak mula macam mana, itu juga menjadi masalah.
“Pada masa sama, bukan semua calon lama tidak berprestasi. Ada yang terus bekerja dengan baik dan memberi sumbangan. Yang penting ialah keupayaan serta rekod perkhidmatan, bukannya sama ada seseorang itu lama atau baharu,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 172 calon disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua 56 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) di 33 kerusi, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) 15 kerusi, MUDA empat kerusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













