Malaysia tidak kompromi pendirian Myanmar, dialog sebahagian daripada diplomasi – Kamil Munim
KUALA LUMPUR – Usaha membuka ruang dialog dengan kepimpinan Myanmar tidak sepatutnya dianggap sebagai tanda pengiktirafan atau persetujuan terhadap tindakan junta negara itu.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim berkata, perundingan dan dialog merupakan sebahagian daripada pendekatan diplomasi yang digunakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik serta menyelamatkan nyawa.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di media sosial hari ini sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berhubung risiko legitimasi susulan dakwaan layanan ‘karpet merah’ terhadap Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing.
“Kritikan terhadap sebarang hubungan dengan kepimpinan Myanmar memang wajar didengar.
“Kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh diputihkan dan pendirian Malaysia mengenai Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN juga tidak harus dikompromikan. Namun kita juga perlu berlaku adil terhadap fakta,” katanya.
Menurut Kamil, sejarah diplomasi Malaysia turut menunjukkan bahawa rundingan dengan pihak yang mempunyai pendirian berbeza tidak semestinya bermaksud mengiktiraf atau bersetuju dengan perjuangan mereka.
Beliau memberi contoh Rundingan Baling pada 1955 apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, duduk semeja dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
“Tunku berunding kerana sebagai pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawaz
“Selain itu, keputusan Tun Abdul Razak pada 1974 untuk mengadakan lawatan ke Beijing, bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai sebelum Malaysia membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.
“Ini kerana langkah berkenaan dibuat ketika ancaman komunis masih menjadi kebimbangan negara dan sentimen antikomunis ketika itu masih kuat,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan antara Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), selain terlibat dalam proses damai di selatan Thailand.
Menyentuh isu Myanmar, Kamil berkata Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 bukan sahaja mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing, malah Perdana Menteri turut bertemu wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG).
“Pendekatannya jelas: bercakap dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mencari jalan keluar kepada krisis,” katanya.
Menurutnya, persoalan yang lebih penting bukan mengenai istilah ‘bentang permaidani merah’, sebaliknya tuntutan yang dibawa Malaysia ketika berada di meja rundingan.
Beliau berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk penghentian keganasan, pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, akses bantuan kemanusiaan serta dialog politik yang inklusif.
Dalam konteks hubungan dua hala semasa, Kamil berkata Malaysia turut perlu memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat.
“Kita boleh mengecam kekejaman dan pada masa yang sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya. Kedua-duanya tidak bercanggah,” katanya.
Beliau menegaskan diplomasi memerlukan keberanian untuk berkomunikasi dengan pihak yang tidak dipersetujui, khususnya apabila melibatkan keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






