Tanpa NSM, LCS 1 tetap dilengkapi sistem persenjataan – Khaled
KUALA LUMPUR – Kapal tempur pesisir (LCS) 1 yang dijangka diterima MINDEF pada April 2027 tetap akan dilengkapi beberapa sistem persenjataan meskipun penyerahannya tidak membabitkan Naval Strike Missile (NSM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LCS berkenaan akan dilengkapi antaranya misil permukaan ke udara, misil permukaan ke laut untuk menghadapi ancaman daripada kapal selam serta sistem peperangan elektromagnetik.
“LCS itu akan tetap dilengkapi dengan beberapa jenis sistem persenjataan yang lain, antaranya misil dari permukaan ke udara, misil daripada permukaan kelaut dalam untuk serang ataupun berhadapan dengan mana-mana ancaman daripada kapal selam.
“Kita juga mempunyai sistem peperangan elektromagnetik untuk menggagalkan segala serangan-serangan yang akan dilakukan dan juga Combat Management System yang mengintegrasikan semua keupayaan ini dengan sistem radar dan pengesan kapal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca juga : LCS 1 dijangka diserah kepada Kementerian Pertahanan pada April 2027
Beliau berkata, ketiadaan NSM pada ketika penerimaan LCS 1 tidak bermakna kapal berkenaan langsung tidak mempunyai sistem persenjataan.
Menurutnya, LCS juga masih boleh menjalankan operasi secara bersepadu dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekiranya berdepan ancaman daripada kapal musuh.
“Dan pada masa yang sama, jika ada ancaman daripada mana-mana kapal musuh yang lain, kita masih boleh menjalankan operasi secara bersepadu dengan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, jika terdapat kapal yang berada kira-kira 100 kilometer dan dianggap mempunyai niat tidak baik terhadap negara, pengesanan yang dibuat LCS boleh disalurkan kepada TUDM untuk melaksanakan serangan terhadap kapal yang dianggap mengancam.
Dalam pada itu, beliau berkata penerimaan LCS 1 pada April 2027 adalah tanpa sistem NSM, menyebabkan LKAN mengunjurkan kelewatan penyiapan LCS 1 sehingga Disember 2035.
Katanya, unjuran berkenaan dibuat berdasarkan anggaran proses dan tempoh yang diperlukan bagi pembekalan NSM sebelum ini yang dibatalkan secara unilateral oleh kerajaan Norway.
“Kita sedang timbang semua ini dan kita akan pastikan supaya masa penghantaran, pemasangan tidak lebih ataupun tidak terlalu lama seperti untuk kontrak Norway yang makan masa sampai lapan tahun kerana Norway mendapat perlanjutan masa atas sebab-sebab tertentu kerana ada komponen dalam misil Norway itu yang memerlukan kelulusan daripada Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, pembelian misil yang telah, sedang dan akan dilakukan daripada LIG Korea, Roketsan Turki serta MBDA Perancis mengambil masa penghantaran hanya tiga tahun.
“Jadi harus faham atas sebab itulah pengunjuran penyiapan LCS hingga Disember 2035 adalah sesuatu yang kita percaya tidak tepat dan tidak benar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








