Malaysia pacu diplomasi pertahanan serantau melalui AMOM ke-15
KUALA LUMPUR – Penganjuran Mesyuarat Operasi Ketenteraan ASEAN ke-15 (15th ASEAN Military Operations Meeting – AMOM) menegaskan peranan Malaysia sebagai rakan strategik dan pemacu diplomasi pertahanan serantau dalam memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN menghadapi cabaran geopolitik abad ke-21.
Mesyuarat yang berlangsung dari 6 hingga 9 September lalu di sini menghimpunkan delegasi dari kesemua 10 negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat bertemakan “ASEAN: Inclusivity and Sustainability” itu menekankan komitmen bersama negara anggota dalam menangani cabaran keselamatan serantau serta memperkukuh kerjasama ketenteraan.

“Sepanjang mesyuarat, para delegasi sebulat suara menegaskan keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dengan ASEAN perlu memperkukuh kerjasama bagi menghadapi cabaran keselamatan semasa dan akan datang.
“Antara agenda utama ialah perancangan aktiviti ketenteraan ASEAN bagi tahun 2026–2027, selain merumuskan resolusi yang akan dibentangkan pada Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (22nd ACDFM) di Kuala Lumpur dari 9 hingga 12 September ini,” menurut kenyataan itu.
Ketibaan para delegasi disambut Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.
Antara ketua delegasi yang hadir termasuk Kolonel Pengiran Noor Rumaizi Pengiran Othman (Brunei), Mejar Jeneral Nim Balene (Kemboja), Air First Marshal M. Taufiq Arasj (Indonesia), Brigedier Jeneral Thongsamay Soukpaseut (Laos), Leftenan Jeneral Than Htike (Myanmar), Mejar Jeneral Elmer B. Suderio (Filipina), Brigedier Jeneral Letchumanan Narayanan (Singapura), Leftenan Jeneral Jakkapong Janpengpen (Thailand) dan Leftenan Jeneral Nguyen Huy Canh (Vietnam).
Melalui AMOM ke-15, Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai penggerak utama dalam membina asas diplomasi pertahanan yang mampan demi kestabilan, saling percaya dan keamanan rantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








