BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF daftarkan batalion bawah PCRS, langkah kesiapsiagaan misi pengaman PBB

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal komited memperkukuh peranan dalam misi keamanan antarabangsa apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) mendaftarkan sebuah batalion infantri di bawah Sistem Keupayaan dan Kesiagaan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PCRS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu sebagai persediaan sekiranya negara dipilih menyertai misi pengaman baharu, khususnya di Gaza.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam PCRS memberi kelebihan besar untuk dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyertai misi pengaman antarabangsa.

“Satu daripada inisiatif yang diusahakan adalah pendaftaran sebuah batalion infantri untuk diatur gerak sebagai pasukan pengaman di bawah Sistem Keupayaan dan Kesiagaan Operasi Pengaman PBB atau Peacekeeping Capability Readiness System (PCRS).

“Ia bertujuan memperlihatkan kesiapsiagaan anggota pengaman Malaysia bagi diatur gerak segera dalam misi-misi pengaman yang baharu.

Sekiranya mandat diluluskan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk memulakan misi pengaman baharu, khususnya di Gaza, pendaftaran dalam PCRS akan memberi kelebihan kepada Malaysia,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang bertanya sama ada terdapat pelan tindakan kerajaan untuk mengetuai dan menghantar pasukan pengaman pelbagai negara bagi menangani konflik di Gaza, sebagaimana pernah dilakukan dalam konflik Balkan dan Bosnia.

Mohamed Khaled menegaskan, kerajaan sentiasa konsisten mendesak PBB menghantar pasukan pengaman ke Palestin, khususnya di Gaza, melalui platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau menjelaskan, usaha itu diteruskan melalui kenyataan rasmi kerajaan, sokongan terhadap resolusi berkaitan dan kerjasama rapat dengan negara-negara sehaluan bagi menghentikan kekejaman dan genosid yang sedang berlaku.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan bahawa tentera pengaman PBB belum boleh dihantar ke Palestin kerana negara itu masih belum merdeka sepenuhnya.

Katanya, Malaysia berpendirian bahawa pembentukan negara Palestin yang merdeka perlu diwujudkan segera bagi membolehkan pasukan pengaman PBB dihantar untuk menjaga sempadannya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah gagal menyertai misi keamanan antarabangsa termasuk di Congo pada 1960-an dan Lubnan, yang kini menempatkan 860 anggota pasukan pengaman negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button