Malaysia runding isu peluru berpandu NSM sebelum pertimbang tindakan saman – Khaled
KUALA LUMPUR – Malaysia masih mengadakan rundingan dengan pembekal peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) berhubung kegagalan penghantaran aset pertahanan itu susulan pembatalan lesen eksport oleh kerajaan negara terbabit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya rundingan berkenaan gagal mencapai persefahaman, Malaysia akan mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk saman dan timbang tara.
“Sekarang tengah runding lagi. Kalau kita tak boleh mencapai apa-apa persefahaman, maka kita akan rujuk supaya kita akan mulakan tindakan saman, timbang tara dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pemeteraian Nota Kerjasama MyBakat Veteran antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di ibu negara, hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Khaled memaklumkan usaha untuk mendapatkan ganti rugi susulan pembatalan perolehan peluru berpandu NSM sebagai suatu proses yang sukar dan panjang.
Beliau berkata, ia berikutan pihaknya tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan Norway untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan walaupun negara itu didakwa menjadi punca kepada masalah terbabit.
Terdahulu, kerajaan sedang mempertimbangkan peruntukan baharu bagi membuat perolehan peluru SSM dari negara lain susulan proses tuntutan ganti rugi daripada kerajaan Norway yang mengambil masa panjang.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, peruntukan baharu itu perlu bagi mengelakkan aset kapal perang negara terbiar tanpa sistem peluru berpandu utama memandangkan syarikat pembekal di Norway dilihat cuba melengah-lengahkan pertikaian berkenaan dengan berselindung di sebalik terma kontrak.
Kerajaan Norway enggan mengambil langkah mendahulukan bayaran balik yang sudah dibuat Malaysia, sekali gus memaksa kementerian melihat tiga negara alternatif sebagai pengganti dengan julat harga antara RM700 juta hingga melebihi RM1 bilion.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








