Bantuan RM1,000 bagi 53,000 pemandu dibiayai hasil kutipan nombor khas H – Loke
PUTRAJAYA – Hasil kutipan siri nombor pendaftaran khas H yang menjana RM91 juta kepada kerajaan pada September lalu digunakan untuk membiayai bantuan kewangan khas RM1,000 seorang kepada 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan membabitkan peruntukan RM53 juta itu akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga minggu, dengan sasaran semua penerima yang layak mendapat bayaran sebelum sambutan Deepavali.
Beliau berkata, pembayaran akan dilaksanakan sama ada melalui penyerahan baucar atau pemindahan wang secara dalam talian.
Katanya, Kementerian Pengangkutan akan mengesahkan data penerima bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak bagi memastikan tiada penerima yang layak tercicir.
“Kita akan semak bersama APAD dan LPKP supaya tiada pemandu yang tercicir dan cuba selesaikan proses pembayaran ini dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Kita sasarkan semua pemandu akan mendapat bantuan ini sebelum sambutan Deepavali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis peluncuran bantuan itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Loke berkata, daripada keseluruhan penerima, kira-kira 38,000 ialah pemandu teksi dan kereta sewa, manakala 15,000 lagi terdiri daripada pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Beliau turut menyarankan pemandu yang mendapati nama mereka tercicir daripada senarai penerima supaya menghubungi persatuan masing-masing.
Katanya, langkah itu membolehkan maklumat penerima dikemas kini sebelum diserahkan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







