MCMC perkukuh standard teknikal, pastikan perkhidmatan penting lebih stabil
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh pembangunan standard teknikal bagi memastikan perkhidmatan penting termasuk komunikasi, bekalan elektrik dan air beroperasi dengan lebih selamat, stabil dan berkesan.

MCMC berkata, usaha itu penting berikutan kebergantungan yang semakin meningkat terhadap teknologi digital dan sistem yang saling berhubung, yang boleh menyebabkan gangguan dalam satu sistem menjejaskan perkhidmatan lain serta kehidupan seharian rakyat.
“Usaha ini penting memandangkan perkhidmatan tersebut semakin bergantung kepada teknologi digital dan sistem yang saling berhubung. Gangguan dalam satu sistem boleh menjejaskan perkhidmatan lain, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MCMC menganjurkan seminar Enabling Intelligent and Resilient Utilities through Standards di MCMC Centre of Excellence di sini pada Rabu, bersempena Hari Standard Sedunia 2026.
Seminar itu turut mengetengahkan Rangka Kerja Tadbir Urus Standard Teknik MCMC bagi menambah baik perancangan, penyelarasan dan pembangunan standard teknikal dalam sektor komunikasi dan multimedia, selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.
Menurut MCMC, sesi berkenaan menghimpunkan wakil agensi kawal selia, badan pembangunan standard, pihak industri, pihak berkuasa tempatan dan ahli akademik bagi membincangkan penyelarasan standard teknikal antara sektor komunikasi, tenaga, air dan pembangunan infrastruktur.
MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan teknologi serta sistem yang digunakan dapat berfungsi dengan lebih baik secara bersama, sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan penting yang lebih selamat dan stabil untuk manfaat rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






