BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC ke Singapura, Meta ambil masa terlalu lama bertindak

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan ke Singapura minggu depan bagi mengadakan pertemuan dengan semua platform media sosial termasuk Meta dan TikTok susulan kelewatan syarikat berkenaan bertindak menurunkan kandungan terlarang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya kesal apabila proses menurunkan kandungan seperti iklan judi dalam talian dan penipuan (scam) mengambil masa terlalu lama sehingga menjejaskan usaha penguatkuasaan.

“Sebagai contoh, untuk menurunkan satu posting scam atau judi dalam Facebook, MCMC memerlukan 30 hingga 45 minit hanya untuk mengisi borang sebelum ia dipertimbangkan untuk diturunkan.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, MCMC telah membazir masa kerja bersamaan setahun setiap bulan hanya untuk menurunkan lebih 150,000 kandungan scam dan judi dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 Tahun 2025: AI dan Persona Diri: Kemandirian di Era Infodemik di Angkasapuri RTM, hari ini.

Menurut beliau, pertemuan di Singapura itu akan digunakan untuk memberi penegasan bahawa syarikat media sosial mesti menghormati undang-undang Malaysia serta mempermudah urusan menurunkan kandungan melanggar peraturan.

Fahmi turut berkata, cadangan pelaksanaan pengesahan identiti elektronik (EKYC) menggunakan MyKad, pasport atau MyDigital ID bukan bertujuan mengekang kebebasan bersuara rakyat atau menjejaskan privasi mereka.

“Sebaliknya ia langkah untuk melindungi rakyat kerana jumlah kerugian akibat jenayah dalam talian yang dilakukan oleh penjenayah berselindung di sebalik akaun palsu adalah terlalu besar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button