Padam kandungan sensitif ambil masa hingga dua minggu
KOTA KINABALU – Proses menurunkan kandungan sensitif atau tidak wajar di media sosial mengambil masa antara satu hingga dua minggu bergantung kepada semakan dan tindakan pihak platform.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya boleh bertindak selepas menerima aduan daripada orang awam.
Ini kerana ujarnya, badan itu tidak mempunyai kuasa memadam kandungan secara terus lantaran ada proses yang perlu dipatuhi.
“Untuk menurunkan kandungan, MCMC perlu menyemak dengan pengendali platform terlebih dahulu. Kami tidak mempunyai kuasa untuk memadam kandungan itu sendiri.
“Kami perlu memaklumkan mereka mengenai kandungan tersebut dan mereka akan menelitinya berdasarkan garis panduan komuniti masing-masing.
“Biasanya, ia mengambil masa antara satu hingga dua minggu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pesta Geran PMKS Digital Madani 2025, memetik laporan Harian Metro.
Mano berkata demikian sebagai mengulas isu penyebaran maklumat salah susulan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, yang tular di media sosial.
Terdahulu, seorang guru sekolah, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang Khamis lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan maklumat palsu di TikTok dengan mendakwa Zara Qairina meninggal dunia selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail turut memberi peringatan bahawa penyebaran maklumat palsu boleh menjejaskan siasatan polis berhubung kes tersebut.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai di sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Prosiding inkues selama 17 hari berhubung kematiannya dijadualkan bermula 3 September depan.
Dalam perkembangan lain, Mano memaklumkan bahawa infrastruktur komunikasi di Sabah terus diperkasa dengan 545 menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi, 5,154 stesen pemancar dinaik taraf serta lebih 300,000 premis dilengkapi akses gentian optik pada suku kedua tahun ini.
Beliau berkata liputan Internet 4G di kawasan berpenduduk di Sabah kini mencapai 95.3 peratus, manakala liputan 5G mencapai 69 peratus dengan pelaksanaan 596 pemancar di seluruh negeri.
Selain itu, MCMC bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron dari Klinik Kesihatan Tawau ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjelang hujung tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








