BERITA SEMASA

Video lama pijak al-Quran di Singapura tular semula, MCMC ingatkan jangan sebarkan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran
pada tahun 2024 melibatkan insiden di Singapura oleh seorang warganya.

MCMC berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura.

“Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC menegaskan sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button