Mangsa terakhir kehilangan pemancing di perairan One Fathom Bank ditemukan
KLANG – Penemuan mayat seorang pemancing di perairan Kuala Kurau, Perak semalam, melengkapkan operasi pencarian tujuh mangsa yang hilang selepas bot mereka dipercayai karam di perairan One Fathom Bank pada 14 September lalu.
Mayat Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, ditemukan terapung oleh seorang nelayan kira-kira pukul 5.25 petang, pada jarak 4.5 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa ditemukan memakai baju berwarna biru dan seluar celoreng.
Menurutnya, Bot Maritim BENTENG 03 kemudian digerakkan ke lokasi selepas Zon Maritim Kuala Kurau menerima maklumat daripada nelayan berhubung penemuan mayat berkenaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau kira-kira pukul 7.30 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Mayat seterusnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA JUGA:
Tujuh pemancing termasuk tekong hilang di perairan One Fathom Bank
Mayat pemancing di perairan Perak disahkan Muhammad Ridzuan
Menurut Abdul Muhaimin, identiti mangsa disahkan oleh isterinya menerusi pakaian terakhir yang dipakai Raja Mohd Rozi ketika kejadian.
Sebelum ini, tujuh pemancing dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai karam selepas dilanggar sebuah kapal di perairan One Fathom Bank pada 14 September lalu.
Kesemua mangsa dipercayai tercampak ke laut ketika keluar memburu ikan cencaru.
Empat mangsa berjaya diselamatkan selepas 36 jam bertarung nyawa di laut iaitu Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45; iparnya, Muhd Hamiszar Punirain, 45; serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua lagi mangsa, Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Mohd Shahril Abd Rahman, 43, ditemukan maut sebelum ini.
Abdul Muhaimin berkata, dengan penemuan Raja Mohd Rozi, usaha pencarian kesemua tujuh individu yang terlibat dalam kejadian itu kini selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








