Pelajar wanita nyaris maut dikelar bekas kekasih
SUBANG JAYA – Seorang pelajar wanita warga asing nyaris maut selepas dikelar bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah universiti swasta di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 6.30 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang pelajar lelaki warga asing berusia 21 tahun telah mencederakan mangsa berusia 20 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.
“Mangsa mengalami kecederaan kelar di bahagian leher kiri dan telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
“Mangsa kini dirawat di zon merah dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan polis di lokasi kejadian dan kini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








