BERITA SEMASA

Anwar umum tambahan RM1 juta untuk setiap kawasan Parlimen

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada setiap kawasan Parlimen di seluruh negara bagi memastikan lebih banyak bantuan dan pembangunan dapat disalurkan terus kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan keperluan rakyat, khususnya golongan miskin serta mereka yang terkesan akibat bencana banjir, terus diberikan perhatian.

“Saya memikul tanggungjawab ini. Saya berjanji untuk membantu golongan miskin.

“Jika sesuatu masalah menjejaskan mereka setiap tahun selama berdekad-dekad sehingga rumah, kampung dan sumber pendapatan mereka musnah akibat banjir, saya tidak akan selesa menjadi Perdana Menteri jika membiarkan keadaan itu berterusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan bersedia menerima kritikan berhubung pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen, namun menegaskan peruntukan untuk rakyat tidak pernah dikurangkan.

“Kita boleh menerima kritikan yang membina. Tetapi peruntukan tidak pernah dikurangkan.

“Malah hari ini saya ingin mengumumkan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, terus untuk rakyat,” katanya lagi.

Anwar berkata, pemberian peruntukan kerajaan perlu berasaskan keperluan rakyat dan bukannya pertimbangan politik.

Beliau berkata, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menerima antara peruntukan tertinggi dalam sejarah di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI menerusi pelaksanaan projek berkaitan bekalan air, elektrik dan mitigasi banjir.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak akan melayan setiap serangan peribadi atau kritikan yang dilemparkan terhadapnya termasuk menerusi pelbagai platform media.

“Setiap malam ada yang menghina saya dalam podcast, tetapi saya tidak melayan kerana saya ada kerja yang perlu dilakukan.

“Kita perlu membuktikan prestasi dan bukannya membalas setiap rungutan atau kemarahan yang ditimbulkan,” katanya lagi.

Beliau turut membidas pihak yang mendakwa pernah ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi kini menafikannya.

“Ada yang kata mereka ditawarkan jawatan GLC tetapi tidak pernah memintanya.

“Mungkin bukan datang cium tangan minta jawatan, tetapi datang beritahu bahawa mereka mempunyai kepakaran dan boleh memberi khidmat jika diberi peluang.

“Saya faham perkara itu, jadi jangan nafikan. Cukuplah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button