BERITA SEMASA

Kerajaan peruntuk RM611 bilion jayakan RMK13

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM611 bilion bagi menjayakan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM430 bilion daripada peruntukan itu membabitkan dana kerajaan, manakala RM120 bilion adalah daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan selebihnya sebanyak RM61 bilion menerusi sokongan pihak swasta melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP).

“Daripada peruntukan RM430 bilion ini, lebih daripada separuh iaitu RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

“Sektor sosial turut diberi keutamaan iaitu RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan ikhtiar itu menjelang 2030, negara bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi, malah juga mempunyai rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh.

“Inilah impian Malaysia MADANI, RMK13 harus menjadi milik semua, setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan yang dihasratkan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lima tahun mendatang adalah tempoh kritikal untuk Malaysia melonjak bukan hanya ke arah negara berpendapatan tinggi, malah mampu melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan menyediakan kehidupan berkualiti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button