Sidang Kemuncak BRICS: Malaysia seru reformasi global, tadbir urus AI lebih beretika
KUALA LUMPUR – Malaysia terus lantang bersuara di pentas antarabangsa dengan menegaskan keperluan memperkukuh amalan multilateralisme, reformasi terhadap sistem ekonomi global serta memastikan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika dan berpaksikan nilai sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian itu pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil dalam sesi intervensi bersama para pemimpin negara anggota.

Beliau menekankan bahawa dunia seharusnya tidak lagi dikunci oleh pertembungan blok dan ketegangan geopolitik, sebaliknya digerakkan oleh semangat kerjasama, kesaksamaan dan kemajuan digital yang inklusif serta selamat untuk semua.
āMalaysia memandang serius senario geopolitics of techĀ iaitu perkembangan teknologi yang dipacu oleh kepentingan geopolitik kerana ia berpotensi menggugat kestabilan dan menyekat inovasi,ā ujar Anwar memetik laporan Berita Harian.
Menurut beliau, multilateralisme kini bukan lagi satu pilihan idealistik tetapi suatu keperluan mendesak untuk memastikan keadilan ekonomi global dan menjamin hak serta kedaulatan negara-negara membangun yang sering tersisih dalam arus perubahan global.
Malaysia katanya, memilih pendekatan kerjasama berprinsip yang berlandaskan keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat, bukan melalui konfrontasi atau perpecahan.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut mengangkat agenda yang sejajar dengan aspirasi BRICS termasuk desakan terhadap reformasi sistem perdagangan global agar lebih adil dan berpaksikan pembangunan mampan.

Malaysia juga menyambut baik perhatian BRICS terhadap pentingnya tadbir urus AI yang beretika dan mengutamakan kesejahteraan manusia.
Dalam konteks ini, Malaysia telah melaksanakan Pelan Hala Tuju AI Negara dan memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus AI.
Negara kini menerajui penubuhan Jaringan ASEAN AI sebagai langkah memperkukuh keupayaan rantau ini dalam menetapkan piawaian dan kerjasama serantau dalam bidang teknologi kecerdasan buatan.
āMalaysia bersedia bekerjasama rapat dengan BRICS dan rakan-rakan global untuk membentuk sistem ekonomi yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan manusia sejagat,ā kata Anwar lagi.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengangkat isu kemanusiaan global khususnya penderitaan berpanjangan di Gaza dan penindasan terhadap rakyat Iran.
āMalaysia menggesa dunia agar tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
“BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan menjunjung maruah insan,ā tegas beliau.
Sidang Kemuncak BRICS tahun ini memberi tumpuan kepada peranan aktif negara-negara membangun dalam membentuk landskap ekonomi dan digital global yang lebih adil dan saksama.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak ini dibuat atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS serta sebagai Pengerusi ASEAN 2025 setelah secara rasmi menjadi rakan strategik BRICS pada 1 Januari lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








