NCER disasar catat RM367.8 bilion pelaburan menjelang 2030 – PM
KUALA LUMPUR – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) disasar mencatatkan sebanyak RM367.8 bilion pelaburan menjelang tahun 2030, maklum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar yang telah mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-31 pagi tadi, bagi tempoh 2021 hingga 2022, NCER telah menyumbang 34 peratus iaitu RM197 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
“NCIA direncanakan untuk menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia menerusi tiga bidang tumpuan baharu iaitu Perkhidmatan Termaju, Pembuatan Bernilai Tinggi dan Pertanian Moden.
“Dua Pemacu Perubahan yang akan menyokong adalah amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta mengaplikasi penggunaan digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri Besar-Menteri Besar yang berkenaan sebagai Ahli Majlis NCIA.
Tambah Anwar, Mesyuarat NCIA pagi tadi turut membincangkan inisiatif “Facilitation@NCER” dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di NCER.
“Ini akan melibatkan koordinasi dengan MIDA bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital On-Track,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







