PM hadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar esok bagi membincangkan serangan Israel terhadap Qatar.
Wisma Putra berkata, Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pegawai kanan kerajaan.
“Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam akan dihadiri oleh pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan akan didahului oleh Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam pada 14 September,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menambah, penyertaan Anwar dalam sidang kemuncak tergempar tersebut menunjukkan sokongan penuh serta solidariti Malaysia bersama Qatar, selain kesinambungan usaha Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman serta keganasan yang dilakukan Israel.
Anwar dijadualkan berucap pada sidang kemuncak itu bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia mengenai keperluan mendesak untuk menghentikan pencabulan terang-terangan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kedaulatan negara, yang mengancam keamanan serantau serta global.
“Sidang kemuncak ini dijangka mengeluarkan Kenyataan Akhir yang merumuskan tindakan serta pendirian kolektif untuk menangani isu tersebut,” tambahnya.
Selasa lalu, Israel mengebom bangunan yang menempatkan beberapa anggota biro politik Hamas.
Serangan itu meragut nyawa lima anggota Hamas serta seorang pegawai keselamatan Qatar ketika mereka sedang membincangkan pelan perdamaian terkini Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang di Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







