BERITA SEMASAPMX

Malaysia terima tiga notis tatatindak dari AS

Enggan iktiraf Hamas sebagai pengganas

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia menerima notis tatatindak (demarche) sebanyak tiga kali daripada Amerika Syarikat (AS) susulan pendirian tegas Malaysia menentang kezaliman zionis Israel.

Kata Perdana Menteri, notis pertama yang diterima pada 13 Okt diikuti dengan tindakan Jabatan Negara AS memanggil Duta Besar Malaysia pada 18 Okt, dan seterusnya perjumpaan Timbalan Duta AS dengan wakil Kementerian Luar pada 30 Okt merupakan satu tekanan kepada Malaysia di atas keengganan negara dalam membantah tindakan Hamas dan menggelarnya sebagai pengganas.

“Meskipun kebarangkalian bakal berdepan dengan teguran atau amaran daripada mana-mana pihak, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan.

“Sebagai contoh Duta Besar kita di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin.

“Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga telah menerima ‘demarche’ daripada Kedutaan AS di Kuala Lumpur supaya Malaysia menggunakan saluran diplomatik untuk meminta sebuah negara agar tidak mengambil kesempatan daripada keadaan konflik dengan menggunakan proksi untuk terlibat dengan pertempuran di Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar pada masa yang sama turut menggesa semua pihak supaya tidak mempermainkan isu Palestin untuk kepentingan politik.

Jelas beliau, rakyat Palestin perlu diberi keadilan setimpal mengikut undang-undang antarabangsa.

“Inilah suara demokrasi sebenar. Tak usahlah dipolitikkan. Masing-masing ada perbezaan cara tindakan.

“Jangan anggap isu ini boleh dipermainkan untuk dapatkan kepentingan politik,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button