Pasangan panda baharu tiba di Malaysia minggu depan
KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka menerima sepasang panda gergasi baharu dari China minggu depan sebagai simbol diplomatik dan kerjasama dua hala.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, ketibaan panda berkenaan merupakan hasil perjanjian baharu yang dimeterai antara Malaysia dan China pada 16 April lalu, bersempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Beliau berkata, melalui perjanjian yang diperbaharui itu, Malaysia akan menerima sepasang panda gergasi lebih muda bagi tempoh antara 2025 hingga 2035.
“Pasangan panda baharu itu dijangka tiba di Zoo Negara minggu depan dan akan meneruskan penyelidikan bersama dalam bidang perlindungan serta pembiakan panda sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan bersama,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Tiong Sii, selain menjadi simbol persahabatan erat antara kedua-dua negara, inisiatif itu mencerminkan hubungan kukuh dua hala serta komitmen bersama Malaysia dan China dalam pemuliharaan spesies terancam.
Pasangan panda pertama, Fu Wa (Xing Xing) dan Feng Yi (Liang Liang), dipinjamkan kepada Malaysia pada tahun 2014 dan sejak itu menjadi tarikan utama di Zoo Negara.
Selepas lebih sedekad berada di Malaysia, kedua-duanya dipulangkan ke China pada 18 Mei lalu sejurus tamat tempoh pinjaman selama 11 tahun.
Sepanjang tempoh program tersebut, Malaysia mencapai kejayaan membanggakan dalam usaha pembiakan panda, apabila tiga ekor anak panda berjaya dilahirkan hasil pasangan berkenaan.
Anak sulung, Nuan Nuan, dihantar pulang ke China pada 14 November 2017, manakala dua ekor lagi, Yi Yi dan Sheng Yi, dipulangkan bersama pada 29 Ogos 2023.
Setakat ini, China telah meminjamkan panda gergasi kepada 20 negara di seluruh dunia sebagai sebahagian daripada inisiatif diplomasi pemuliharaan global, yang turut menekankan kepentingan kerjasama dalam melindungi spesies terancam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







