Robot humanoid gegar pentas Gala Tahun Baharu Cina, pamer aksi seni bela diri bertaraf dunia
BEIJING – Sambutan Gala Tahun Baharu Cina yang disiarkan pada malam ambang Tahun Baharu Lunar mencuri perhatian dunia apabila robot humanoid mempersembahkan rutin seni bela diri yang menampilkan pelbagai aksi.
Program tahunan berprestij itu, yang disiarkan oleh penyiar milik kerajaan China, China Global Television Network (CGTN), menjadi tular dan meraih hampir setengah juta tontonan di YouTube.
Menurut laporan CGTN, kira-kira sedozen robot humanoid mempamerkan keupayaan luar biasa termasuk aksi parkour ‘freestyle table-vaulting’ berterusan yang pertama di dunia, salto udara, putaran satu kaki tanpa henti, ‘backflip’ dua langkah berbantukan dinding serta putaran 7.5 kali ‘airflare grand spin’.

Persembahan itu dilihat sebagai lonjakan besar berbanding tahun lalu, apabila robot yang sama sekadar memutar sapu tangan dan melakukan pergerakan asas.
Empat syarikat teknologi iaitu Unitree, Magiclab, Galbot dan Noetix dilaporkan bekerjasama dalam penganjuran gala berkenaan menerusi perjanjian bernilai kira-kira 100 juta yuan (RM54 juta), menurut South China Morning Post.
Robot pertama yang muncul ialah model Bumi keluaran Noetix yang membawakan sketsa komedi.
Persembahan kemudian diteruskan oleh robot Unitree yang bergandingan dengan artis kanak-kanak dalam segmen seni bela diri, termasuk aksi ‘backflip’ dan lompatan trampolin.
Magiclab pula menampilkan robot humanoid mereka dalam segmen muzikal yang memukau penonton.
Pakar dasar kecerdasan buatan dari Universiti California, Los Angeles (UCLA), Ramesh Srinivasan memberitahu Al Jazeera bahawa Beijing jelas menghantar mesej tegas kepada dunia khususnya Amerika Syarikat mengenai kemampuan teknologi yang dimilikinya.
Persembahan berkenaan sekali gus menonjolkan kemajuan pesat China dalam bidang robotik humanoid yang dilihat berpotensi besar untuk aplikasi industri dan pertanian pada masa depan, terutama ketika negara itu berdepan penyusutan populasi secara beransur-ansur.
Kemunculan robot-robot canggih di pentas hiburan utama negara itu bukan sekadar persembahan semata-mata, sebaliknya mencerminkan strategi jangka panjang China dalam memperkukuh dominasi teknologi global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








