BERITA SEMASA

Anwar kenang Zhu Rongji sebagai sahabat dan arkitek ekonomi China

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Perdana Menteri China, Zhu Rongji sebagai tokoh penting dalam transformasi ekonomi negara itu serta seorang sahabat yang baik.

Anwar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zhu yang meninggal dunia pada usia 97 tahun, sambil menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada China.

Menurut Anwar, pembaharuan yang dilaksanakan Zhu ketika menerajui kerajaan membantu mempercepat kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia.

Beliau berkata, mereka pernah bekerjasama pada 1990-an dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan Malaysia-China yang sebahagian daripadanya kekal menjadi asas hubungan dua hala hingga kini.

Anwar turut berkongsi kenangan peribadi bersama Zhu, termasuk mengunjungi kampung halaman Confucius, Tai Shan serta lokasi bersejarah berkaitan Laksamana Zheng He dan perpustakaan peribadi bekas pemimpin itu.

“Zhu seorang negarawan yang disegani, namun saya akan mengingati beliau, terutamanya sebagai seorang insan yang mempunyai keperibadian tinggi dan rasa tanggungjawab mendalam terhadap negaranya,” katanya menerusi Facebook.

Zhu menjadi Perdana Menteri China dari 1998 hingga 2003 dan dikenali kerana melaksanakan pembaharuan ekonomi berorientasikan pasaran, penstrukturan perusahaan milik kerajaan serta memimpin kemasukan China ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button